BAB 19


Malam itu, seperti biasa Tuan Megat akan menghubungi aku selepas waktu isyak.  Memang sudah menjadi rutin harian kami.  Kadang-kadang dia yang menghubungi aku, dan ada masa, aku pula yang menghubunginya.  Aku tidak mahu dia merasakan hanya dirinya yang bersungguh-sungguh terhadap hubungan kami.  Lagi satu, dia akan mempastikan aku sudah selesai menunaikan tanggung jawabku kepada Allah, barulah kami akan bersembang panjang, hinggakan panas telingaku akibat berbual panjang.
“Assalamualaikum….”
‘Waalaikumsalam w.b.t….”
“Wani apa khabar hari ni?  Dah siap solat isyak?”, soal Tuan Megat kepadaku hinggakan aku sudah hafal benar soalannya itu kerana dua soalan itulah yang akan ditanyakan kepadaku apabila kami memulakan bicara.
“Alhamdulillah sihat….dah lama siap solat…..”, balasku seperti mana biasa.
“Alhamdulillah….dah makan?”, soalnya lagi yang juga sudah kujangkakan.
Diet!”, balasku pendek sengaja ingin menukarkan jawapanku kerana biasanya aku akan menjawab sudah.
“Hmmm….dietlah sangat.  Ye ke diet?  Ke…sebab malas nak masuk dapur?”, usiknya.
“Tolong sikit ya….memang saya jarang makan malam.  Nanti gemuk!”, balasku cuba menafikan usikan Tuan Megat kerana apa yang dikatakannya itu memang benar belaka.  Tiada yang benar melainkan yang benar-benar belaka!
“Aikk??  Boleh percaya ke?  Hari tu masa kita dinner, bukan main selera lagi…”, nampaknya Tuan Megat masih tidak mahu kalah.
“Hari tu kan birthday saya….saya kenalah makan dengan berseleranya nanti awak kata saya tak sudi pulak….”, balasku tidak mahu kalah.
“Yelah cikgu…..Wani ni memang tak pernah nak kalah kan?”, soal Tuan Megat akhirnya.
“Hmmm….bergantung kepada keadaan….”, jawabku selamba.
So, apa topik kita malam ni?”, soal Tuan Megat kepadaku kerana itulah cara kami untuk mengenali hati budi masing-masing. 
Sama ada Tuan Megat atau pun aku sendiri, akan mengutarakan satu topik, dan selepas itu kami akan mula membahaskannya.  Masing-masing cuba memberikan pendapat dan dari situlah kami dapat menilai diri masing-masing.  Bagi ku cara ini memang berkesan kerana setiap kali Tuan Megat mengutarakan pendapatnya, sedikit sebanyak, aku dapat menilai dirinya.
“Sebelum saya terlupa, saya nak sampaikan salam ibu saya pada awak….”
“Waalaikumsalam w.b.t.  Apa khabar ibu dan ayah Wani?  Mereka sihat?”
“Alhamdulillah sihat semuanya…”
“Wani balik kampung ke?”
“Eh, taklah.  Tadi ibu yang call saya.  Dia nak beritahu fasal kenduri…”
“Kenduri?  Kenduri apa?”
“Ibu nak buat kenduri lenggang perut untuk adik saya malam minggu ni…so, ibu pesan suruh jemput awak datang kenduri tu sekali….”
“Err….kenduri lenggang perut tu untuk orang perempuan aje ke?”
“Eh, taklah.  Untuk orang lelaki dan perempuanlah…”
“Manalah tahu adat orang Johor macam tu….Wani ok ke kalau saya datang?”, soal Tuan Megat seolah-olah serba salah dengan jemputanku.  Aku tidak tahu sama ada disebabkan dia malu atau pun apa.
“Kalau awak sudi nak datang, apa salahnya.  Nama pun kenduri kan?  Boleh jemput sesiapa saja….”, balasku untuk meyakinkannya.
“Baik.  Saya datang!”, putusnya tanpa banyak soal jawab.
Aku agak pelik tetapi dalam masa yang sama merasa lega bila Tuan Megat sudah menyatakan persetujuannya.  Kalau tidak pasti bernanah telingaku mendengar bebelan ibu yang pasti menuduhku sengaja tidak menjemput Tuan Megat datang ke majlis kenduri itu.
“Kenapa tiba-tiba awak setuju?”, soalku pula sekadar untuk kepastian.
“Setuju apa?”
“Setuju nak datang kenduri tu….”
“Lah…Wani kata ibu Wani yang jemput kan?”
“Yelah…mula-mula tadi saya tengok awak macam berat aje nak datang…”
“Wani….menghadiri jemputan orang adalah wajib tau….kalau memang kita ada kelapangan, tetapi sengaja tak datang, berdosa hukumnya….kecualilah kita ada halangan hingga tak dapat penuhi jemputan tu….”, balas Tuan Megat.
 Seperti yang telah ku katakan, tindak tanduknya sentiasa berlandaskan hukum agama.  Alhamdulillah….
“Baik…saya faham…”, balasku yang cukup senang dengan penjelasannya.
“Ok…berbalik pada topik kita malam ni….hari ni turn Wani bagi tajuk kan?”, soal Tuan Megat kepadaku.
“Oh, ye ke?  Bukan ke hari tu saya yang bagi tajuk….”, soalku sengaja mengelak.
“Jangan nak mengelat ya….saya siap rekodkan lagi ni….”
“Amboi!  Sampai rekod bagai….”
“Mestilah….sekarang ni semua perlukan black and white….orang takkan percaya kalau takde bukti.  Cakap berdegar-degar pun, kalau kat mahkamah bila takde bukti, maknanya sia-sia ajelah….”, balas Tuan Megat sengaja ingin mengenakanku.
“Yalah ASP Megat Irfan Wafiy….”, balasku akhirnya mengalah.
“Nak menyindirlah tu….”
“Taklah….ikhlas ni…..”
“Dah cepat…jangan nak mengelak.  Wani pusing-pusing cakap macam mana pun, saya takkan lupa yang malam ni memang turn Wani bagi tajuk topik kita….”
“Yelah…yelah….err…nak bagi tajuk apa ya?”, aku berfikir seketika.
Akhirnya di fikiranku terlintas satu topik yang agak seronok untuk diperdebatkan kerana dari situlah aku semakin banyak dapat menilai dirinya.
“Ok…dah dapat!  Saya pilih topik PHD…”, ujarku yakin.
“Pizza Hut Dilevary?
“Apa pulak Pizza Hut Dilevary?
“Habis tu?”
“Ni memang tak tahu atau buat-buat tak tahu?”
“Serius….memang tak tahu…”
“PHD tu singkatan untuk perasaan hasad dengki…”
“Oooo….hmmm…agak menarik topik tu…so, siapa nak mula dulu?”
“Awaklah mulakan dulu….”
“Ok…apa nak cakap ya?  Baik…perasaan hasad dengki itu sebenarnya adalah sejenis penyakit hati dan penyakit hati ini sebenarnya lebih dasyat dari penyakit kronik…”
“Awak ada pengalaman berhadapan dengan orang yang ada PHD ni?”, soalku setelah melihat dia begitu yakin menjelaskannya seolah-olah pernah mengalami situasi itu.
“Selagi kita berurusan dengan manusia, kita takkan dapat lari dari spesies ini….apatah lagi dalam bidang tugas saya sekarang ini, memang cukup banyak berhadapan dengan spesies-spesies sebegini.  Apa yang lebih menyedihkan, mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk menjatuhkan musuhnya disebabkan perasaan hasad dengki ini…”, suara Tuan Megat kedengaran mendatar sahaja semasa menjelaskan perkara itu.
Sepi seketika.
“Kalau Wani nak tahu, saya pernah hampir digantung tugas disebabkan perkara ini….”, Tuan Megat menyambung lagi. 
Patutlah suaranya mendatar sahaja, rupa-rupanya ada peristiwa di sebalik topik yang ku pilih itu.  Menyesal pula rasanya kerana mengutarakan topik itu.
“Maafkan saya kalau saya mengingatkan awak dengan peristiwa pahit tu….”, ujarku serba salah.
“Tak perlu nak minta maaf Wani kerana pada saya, saya tak pernah menganggap itu sebagai peristiwa pahit untuk saya….kerana saya sentiasa muhasabah diri saya kenapa saya diuji oleh Allah dengan ujian sebegitu rupa…bohonglah kalau saya tak kecewa dengan peristiwa tu….”
“Apa jadi sebenarnya?  Err…itu pun kalau awak tak keberatan untuk cerita…”
“Biasalah Wani…..kalau sebut aje PDRM, mesti orang terbayang perkataan makan suap….memang dah sinonim rasuah dan polis walaupun yang mencemarkan nama baik PDRM ni cuma segelintir dalam kalangan kami saja.  Satu hari, sewaktu saya dan beberapa orang anggota membuat road block untuk membenteras mat-mat rempit, saya telah menangkap seorang remaja yang turut sama merempit.  Saya memanggil kedua ibu bapanya untuk datang ke lokasi kejadian.  Rupa-rupanya dia anak seorang VIP bergelar datuk.  Datuk itu cuba merasuah saya supaya saya tutup saja kes itu di situ….tapi biasalah bila saya menolak dan cuba mengingatkan dia, bahawa dia boleh didakwa kerana cuba merasuah polis, dia semakin rasa tercabar.  Selepas dari kejadian itu, dia seolah-olah berdendam dengan saya dan cuba memerangkap saya.  Diringkaskan cerita, secara senyap dia merakamkan aksi orang upahannya yang cuba merasuah saya dan kemudian video itu dimuatnaik di You tube.  Saya disiasat dan mulanya saya hampir digantung tugas sementara siasatan dijalankan tapi…..kuasa Allah, entah macam mana orang upahan datuk tersebut yang cuba merasuah saya, tampil mengaku perkara sebenarnya.  Saya terlepas dari digantung tugas.  Syukur Alhamdulillah…..saya sentiasa percaya, jika saya di pihak yang benar, insya Allah, Allah pasti menolong saya.  Itulah prinsip yang saya pegang…berani kerana benar….”, jelas Tuan Megat panjang lebar.
Aku terdiam mendengar kisahnya.  Apa yang mengkagumkan aku adalah, ketenangan dia menghadapi ujian Allah kepadanya.  Jika aku di tempatnya, aku sendiri tidak pasti bagaimana aku menghadapi situasi itu.  Pasti aku merasakan dunia ini seolah-olah akan kiamat bila aku ditimpa musibah seperti itu.  Jauh di sudut hatiku, aku semakin mengkaguminya.
“Saya kagum dengan cara awak menghadapi ujian Allah….kalau saya…entahlah…”, responku kepada kisahnya.
Memang aku tidak sekuat dan setenangnya.  Lihat sahaja bagaimana aku menghadapi ujian kecewa dalam bercinta.  Aku telah menghukum semua lelaki sama sahaja sedangkan sudah terang lagi bersuluh, masih ada lelaki yang bersifat mulia seperti Tuan Megat.  Lebih malang lagi, aku menghukum diriku yang memang telah sedia dihukum oleh seorang lelaki yang tidak tahu menghargai cinta dan kasih sayang yang dicurahkan kepadanya.
“Saya pun manusia biasa Wani.  Pernah juga saya hampir tewas dengan ujian yang mendatang tetapi kekuatan saya memang datang dari orang tua saya terutama ibu saya.  Dialah yang memberi kekuatan kepada saya dalam menghadapi kes saya itu.  Wani nak tahu kenapa saya begitu kuat dan tenang menghadapi ujian itu?”, soalnya kepadaku.
“Apa dia?”
“Kepercayaan….saya mendapat kepercayaan sepenuhnya dari ibu saya.  Dia sangat yakin bahawa anaknya ini tidak akan bertindak sekeji itu…..”
Aku terdiam lagi.  Patutlah Tuan Megat tidak pernah membelakangkan ibunya setiap kali dia mempunyai pilihan hati dan dia sanggup mengecewakan hatinya sendiri demi menghormati keputusan ibunya.
Aku benar-benar mengkagumi lelaki ini!
“Kalau kita sentiasa mengutamakan orang tua kita dalam setiap apa yang kita lakukan, insya Allah hidup kita akan sentiasa diberkati Allah….”, sambung Tuan Megat lagi setelah dia diam sebentar.
Aku terpukul dengan kata-katanya.  Adakah dia menyindir aku?  Sememangnya aku banyak membelakangkan orang tuaku sejak aku dikecewakan.  Setiap tindak tanduk yang ku ambil kebanyakan lebih mengutamakan perasaanku sahaja tanpa mempedulikan perasaan orang tuaku yang turut kecewa kerana aku sangkakan hanya aku yang kecewa.  Disebabkan keegoanku yang tinggi melangit dan sentiasa ingin menunjukkan aku seorang yang kuat di mata mereka, aku kerap mengabaikan nasihat yang diberikan kepadaku kerana apabila aku dikecewakan, aku merasakan itulah penamat dunia percintaanku.  Hilang lelaki durjana itu maka lenyaplah kebahagiaan yang sering ku impikan bersamanya.  Ternyata mata hatiku sudah buta.  Buta kerana cintanya.  Jauh di sudut hatiku, aku bersyukur dipertemukan dengan Tuan Megat kerana dia banyak menyedarkan aku.
“Wani pulak kenapa pilih tajuk PHD ni?  Ada apa-apa pengalaman ke?”, soal Tuan Megat pula kepadaku setelah merasakan dia yang lebih banyak bercakap dariku.
Aku terdiam seketika.  Tidak tahu sama ada wajarkah tindakanku untuk berkongsi kisah pahitku dengannya.
“Wani….kenapa diam ni?”, soal Tuan Megat lagi setelah melihat diriku hanya membisu.
“Kalau boleh saya tak nak ingat kisah-kisah silam saya lagi….”, akhirnya aku menyuarakan apa yang bermain di fikiranku.
“Kadang-kadang kita perlu juga mengimbas masa silam kita kerana di situlah kita dapat mengenal kesilapan kita dan seterusnya cuba perbaiki kesilapan kita itu…..”, Tuan Megat menasihatiku agar aku bersikap terbuka untuk bercerita dengannya.
“Pengalaman berhadapan dengan orang yang ada perasaan hasad dengki yang awak alami berbeza dengan apa yang saya alami…..”, aku gagahkan juga mulutku untuk berbicara kisah pahit itu.
“Apa yang berbezanya?”
“Kalau awak didengki disebabkan kejujuran awak tetapi saya pula didengki disebabkan kebodohan saya….”, aku cuba meluahkan kekesalanku ini tanpa melukakan hatiku lagi.
“Tak faham….explain please…
“Dulu….saya merasakan teman-teman baik sahaja sentiasa iri hati, cemburu dan dengkikan saya bila mereka cuba menceritakan sikap dan perangai buruk ‘dia’ kepada saya….saya sentiasa beranggapan mereka ingin menanamkan perasaan benci ke dalam hati saya dan mahu hubungan saya dan dia terputus di tengah jalan…..hingga pernah sampai ke satu peringkat, saya sengaja mengasingkan diri saya dari teman-teman saya kerana takut mereka akan merosakkan hubungan kami…..itulah kebodohan saya…..”, aku cuba meluahkan dengan tenang walaupun sebenarnya hatiku cukup pedih seperti dihiris sembilu setiap kali aku cuba mengingatinya atau membicarakannya semula.
Tuan Megat hanya membisu mendengar luahan hatiku.  Aku kira, dia tahu siapa ‘dia’ yang aku maksudkan itu kerana dia langsung tidak bertanya tentang dia yang aku maksudkan.
“Wani….jangan sesekali rasa menyesal dengan apa yang telah menimpa kita dahulu….jadikan ia sebagai pengajaran untuk kita menghadapi hidup yang mendatang kerana kita akan jadi lebih dewasa setelah belajar dari kegagalan kita….we don’t grow when things are easy, we grow when we face challenges….”, Tuan Megat terus menasihatkkan aku tidak ubah seperti seorang pakar motivasi dan aku kira dia seorang yang sudah cukup matang sepadan dengan usianya itu.
Apa yang boleh aku simpulkan setiap kali kami berbicara mengenai topik yang kami pilih, aku semakin mengenali peribadinya tanpa perlu aku untuk sentiasa bersama dengannya seperti yang aku fikirkan sebelum ini.  Jika dahulu, untuk mengenali hati budi dia, aku kira aku perlu sentiasa berada di sampingnya, sedangkan sikap-sikap yang ditunjukkan ketika kami keluar bersama lebih kepada bersifat plastik dan hipokrit.
Betullah kata-kata yang pernah ku dengar sebelum ini.  Jika ingin melihat peribadi sebenar seseorang itu, lihatlah ketika dia sedang marah.  Setakat ini, aku belum pernah melihat Tuan Megat marah tetapi aku kira dia pernah rasa marah dengan sikapku tetapi cara dia mengatasi kemarahannya kepadaku itu agak mengagumkan kerana aku tidak pernah melihat dia melenting marahkan aku, sebaliknya dia akan menghadapinya dengan tenang dan dalam masa yang sama dia akan mengenakan aku dan akhirnya aku yang jadi marah kepadanya.

Aku tidak mahu terlalu memuji atau menyanjung dirinya.  Seperti yang sudah aku katakan, aku akan sentiasa berhati-hati dan aku tidak mahu tenggelam di dalam perasaanku ini.  Aku mahu menghadapinya dengan cara dan suasana yang baru.  Apa yang pasti, berbeza dari dahulu!

5 comments:

  1. Nampaknya masih dalam sesi beramah mesra Puteri dengan Megat ni... kalau ikut gelaran nama dari negeri Perak.

    ReplyDelete
  2. Thanks Seri Ayu....

    Memang masih dalam sesi mengenal hati budi masing-masing....puteri tu orang Johor...Tuan Megat memang betul orang Perak....kebetulan pulak Puteri & Megat ye....

    ReplyDelete
  3. best...best...
    mcm ni rupanya mengenali hati budi pasangan ekk...
    sweet gitu...

    ReplyDelete
  4. Thanks Nana Nn...
    Ye..itulah cara trbaik nk kenal hati budi psgn kita & bukannya br'dating' 24 jam...xdelah buat dosa kan??

    ReplyDelete
  5. Cerita yang menarik... tp terlalu banyak monolog... hurm... :)

    ReplyDelete