BAB 17


Hatiku kembali lega selepas pulang dari bertemu Tuan Megat tadi.  Terasa masalah yang membelenggu diriku selama ini terbang entah ke mana.  Mungkin betul apa yang dikatakan Tuan Megat.  Aku terlalu banyak memendam rasa selama ini dan aku seperti gunung berapi yang pendam, tiba-tiba meletuskan laharnya.  Aku sendiri tidak tahu kenapa aku tidak dapat mengawal perasaanku tadi.  Aku meluahkan segala apa yang terbuku kepada Tuan Megat sehingga aku lupa siapa dia.  Aku lupa bahawa dia lelaki yang cuba ku jauhi tetapi sebaliknya dia pula jadi tempatku mengadu.  Jika diingat-ingatkan semula, aku jadi malu.
Apa yang dikatakan oleh Tuan Megat tadi semuanya benar belaka.  Selama ini aku tidak mempunyai tempat untuk meluahkan rasa disebabkan sikap egoku.  Aku tidak mahu ibu dan ayahku dan juga teman serumahku, Izyan tahu apa yang terbuku di hatiku.  Aku hanya ingin mereka melihat aku sebagai seorang yang kuat dan langsung tidak terkesan apabila diperlakukan begitu walaupun pada hakikatnya, aku adalah seorang yang cukup lemah.  Inilah akibatnya apabila terlalu lama memendam rasa.
Selepas pertemuan dengan Tuan Megat tadi, aku sudah mula mengubah persepsi diriku mengenainya.  Aku nampak keikhlasannya terhadapku.  Dia bersungguh-sungguh membantu menenangkan aku yang seperti sudah hilang arah tadi.  Sehinggakan dia ingin menghantarku pulang kerana tidak yakin aku boleh memandu pulang dalam keadaan aku begitu tadi tetapi setelah aku meyakinkannya yang aku ok, barulah dia melepaskan aku pulang.  Beberapa kali dia mengingatkan aku menghubunginya jika aku sudah sampai ke rumah.
Baru sahaja aku ingin menulis mesej kepadanya mengatakan aku sudah sampai di rumah, dia telah menghantar mesej kepadaku terlebih dahulu.  Panjang umurnya!
-Assalamualaikum….Wani di mana?  Dah sampai rumah belum?
Aku tersenyum membaca mesejnya.  Prihatin sungguh lelaki ini.
-W’slm….baru je sampai ni….
-Alhamdulillah….ok Wani rest ye.  Jangan banyak fikir.  I’ll call u later…c u..
-Thanks a lot….c u too….
Aku merenung telefon bimbitku.  Ajaib sungguh perasaan ini.  Aku sendiri tidak menyangka bahawa aku akan berubah perasaan begini.  Sewaktu melangkah keluar dari rumah sewaku untuk menemui Tuan Megat tadi, aku sudah bertekad tidak akan tunduk kepadanya tetapi setelah pulang, lain pula jadinya.  Memang dia lelaki yang hebat.  Aku mengakui dia hebat kerana kesungguhannya meyakinkan aku untuk menerimanya.  Aku bukanlah seorang yang mudah tunduk kepada kata-kata lelaki, tetapi dengan Tuan Megat segala apa yang dikatakannya memang tepat mengenai batang hidungku sehingga aku tidak mampu menolaknya tadi.  Dia seperti sudah tahu segalanya mengenai aku.  Mungkin dia cukup mengkaji tentang diriku sebelum datang menemui aku tadi.
Aku duduk berteleku di atas sejadah sebaik sahaja selesai berwirid dan berdoa selepas menunaikan solat maghrib.  Sesungguhnya aku amat bersyukur di atas apa yang telah ditakdirkan kepadaku.  Mengenali Tuan Megat juga adalah nikmat yang dikurniakan Allah kepadaku walaupun pada awalnya aku merasakan dia membawa masalah yang besar kepadaku.  Benarlah kata Tuan Megat, restu orang tua memang membawa keberkatan.  Aku sudah mula nampak keikhlasan Tuan Megat terhadapku. 
Dia juga tidak mengenal erti putus asa sewaktu ingin mendekati aku walaupun secara logiknya, tiada lelaki yang mahukan perempuan sepertiku yang secara terang-terangan mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya.  Jika diingatkan semula kata-kata kesat yang aku ucapkan kepadanya melalui mesej-mesej yang ku hantar kepadanya dahulu, aku jadi malu.  Betapa rendahnya moral diriku ini.  Terlalu mengikut perasaan!
Dalam diam aku sangat berterima kasih kepada ibuku.  Jika tidak disebabkan sikap ibu yang terpaksa berkeras denganku, mungkin aku tidak berpeluang mengenali Tuan Megat dari satu sudut yang lain dari yang aku sering jangkakan.  Memang naluri seorang ibu itu tidak pernah salah.  Aku pada awalnya sangat pelik dengan sikap ibu yang begitu beria-ia ingin mengenalkan aku dengan Tuan Megat, kini aku tahu jawapannya.  Sudah tentu ibuku sudah ‘menyiasat’ latar belakang Tuan Megat terlebih dahulu sebelum mengenalkannya kepadaku.
Ya Allah, sesungguhnya Engkau yang berkuasa di atas setiap sesuatu yang ada di muka bumi ini.  Benarlah kata-kata, bila suka atau bencikan seseorang itu, biarlah berpada-pada kerana tidak mustahil, ianya akan bertukar menjadi sebaliknya.  Pernah suatu ketika, aku terlalu membenci Tuan Megat hingga ke peringkat tidak boleh mendengar suaranya, apatah lagi hendak bersua muka dan apa yang telah terjadi kepadaku kini, mungkin balasan di atas sikapku kepadanya dahulu.  Hukum karma.  What you give, you get back!


MALAM itu, sewaktu aku sedang menyemak karangan pelajar-pelajarku, tiba-tiba Tuan Megat menghubungiku.  Entah kenapa, hatiku berlagu riang sewaktu namanya tertera di skrin telefon bimbitku.  Lama benar rasanya aku tidak berperasaan seperti ini.  Kali terakhir sewaktu aku sedang hangat dilamun cinta bersama…Ah!  Untuk apa aku mengenangnya lagi? 
Tiada lagi gelaran ‘jejaka perasan’, gelaran yang aku berikan kepadanya dahulu.  Sebaliknya nama Megat Irfan Wafiy menggantikan gelaran itu.  Aku tersenyum riang.  Ajaibnya perasaan.  Sekelip mata boleh berubah!
“Assalamualaikum…”, aku memulakan bicaraku.
“Waalaikum salam w.b.t….apa khabar Wani malam ni?”, soal Tuan Megat dengan lembut.
Aku melayang seketika.  Soalan Tuan Megat itu seolah-olah sudah berhari-hari kami tidak bersua muka, sedangkan petang tadi baru sahaja aku berdrama dengannya.  Aduh!  Malunya jika diingatkan semula peristiwa petang tadi.
“Sihat….alhamdulillah….”, balasku juga lembut.
“Macam mana?  Dah ok?”, soalnya lagi seolah-olah masih tidak berpuas hati dengan keadaanku.
“Ok…terima kasih…”, jawabku jujur.
“Alhamdulillah….senang hati saya dengar.  Saya tak senang duduk selagi tak call Wani…”
“Tak payahlah risau.  Saya betul-betul dah ok…”, balasku lagi cuba meyakinkannya.
Sepi seketika.
“Tuan Megat….”
“Kan saya dah kata jangan panggil saya Tuan…”, potongnya bila mendengar aku cuba memanggilnya dengan panggilan yang tidak disukainya.
“Maaf…..awak….”, terasa janggal pula memanggilnya begitu.
“Susah sangat ke nak panggil saya Irfan?”
“Rasa tak manis pulak…umur kita kan beza lima tahun?”
“Kalau macam tu panggil saya abanglah!”
Aku terkedu.  Abang?  Belum masanya!
“Maaf…saya tak biasa…”
“Biasakan….”
“Saya rasa belum masanya….”
“Suka hati Wanilah….awak pun awaklah…ya, ada apa yang Wani nak cakap tadi?”, akhirnya Tuan Megat mengalah.  Memang itulah sikap yang membuat aku suka padanya.  Dia tidak pernah memaksa.  Suka ke?  Ah!  Malunya hendak mengaku walaupun pada diri sendiri!
“Err…saya nak ucapkan terima kasih…”, sambungku teragak-agak.  Rasa kekok benar hendak berlembut dengannya kerana selama ini aku cukup kasar dengannya.
“Untuk?”
“Terima kasih kerana sudi menjadi pendengar yang baik…dan juga terima kasih kerana sudi menasihati saya….”, jawabku malu.  Sebenarnya aku masih malu mengenai peristiwa petang tadi.
Tuan Megat ketawa.
“Itulah gunanya seorang kawan….err…kita ni dah berkawan ke?  Wani sudi menerima saya sebagai kawan?”
“Sudi…”
“Mula-mula kita kawan dulu.  Bila Wani dah yakin dengan saya, barulah kita maju ke satu tahap yang lebih tinggi…”
“Tahap lebih tinggi?  Maaf, saya tak faham….”
“Jadi kekasih pulak….dah yakin saya sebagai kekasih, kita bergerak ke satu tahap yang paling tinggi lagi….nak tahu apa?”
Kali ini aku diam kerana sudah dapat menjangka jawapannya.
“Jadi suami isteri pulak….itu pun jika diizinkan Allah dan kalau kita memang berjodoh….”, sambung Tuan Megat dengan begitu yakin.
Aku tertunduk malu mendengar kata-katanya.  Mujurlah dia tidak nampak wajahku.  Jika tidak pasti sudah ku sorokkan mukaku ini.
“Insya Allah….kalau ada jodoh…”
“Alhamdulillah….senang hati saya dengar Wani cakap macam tu….kita sama-sama berdoa ok, semoga kita memang ada jodoh…itulah doa saya siang malam sekarang ini”
Aku sungguh terharu mendengar kesungguhan dan kejujurannya.
“Terima kasih….”, balasku sebak. 
Entah kenapa aku menjadi seorang yang cukup mudah tersentuh.  Mungkin selama ini aku memang amat mendambakan seseorang di sisiku untuk berkongsi perasaan suka duka, tetapi disebabkan kedegilan dan egoku, aku telah menghukum diriku sendiri.  Rupa-rupanya masih ada lelaki lain yang ikhlas terhadapku kerana sebelum ini aku hanya menyangkakan hanya dia yang dapat membahagiakan aku.
“Laaa….kenapa sedih-sedih ni…patutnya kita raikan saat-saat bahagia kita ni.  Saya nak Wani tinggalkan semua kisah silam Wani tu di tempat kita bertemu tadi.  Kuburkan semuanya di situ.  Sepatutnya bila Wani melangkah keluar dari restoren tu, Wani bukanlah Wani yang lama lagi…..saya nak melihat seorang Wani yang baru bersama semangat baru…”, ucap Tuan Megat penuh bersemangat.  Mungkin dia mahu aku bersemangat sepertinya.
Sepi lagi.
“Awak….boleh saya tanya satu soalan?”, aku menyoalnya setelah perasaanku kembali tenang.
“Ya Wani…apa saja…silakan…”
“Awak suka saya ke?”, soalku tiba-tiba.
Aku sendiri tidak tahu, kenapa soalan ini yang terkeluar dari mulutku.
“Wani…tak cukup lagi ke apa yang saya buat ni untuk meyakinkan Wani?”, soalnya pula.
“Saya perlukan jawapan….bukan soalan…”
“Ya…sangat-sangat suka….”
“Tapi kenapa?  Bukankah selama ini saya cukup kasar pada awak?  Rasa-rasanya takde satu sikap yang baik pun saya tunjukkan pada awak selama ini….sebab tu saya macam tak percaya kalau awak kata awak suka pada saya….”, aku masih tidak berpuas hati atau dengan perkataan lain aku masih was-was padanya.
“Wani….seperti yang saya beritahu Wani sebelum ni, saya tahu kenapa Wani jadi macam ni….semuanya bersebab kan?  Saya tahu Wani yang sebenarnya bukan seperti ini.  Jadi itu sudah cukup untuk saya sukakan Wani….ok puas hati?”
Aku terdiam.  Rasanya tiada apa lagi yang patut aku persoalkan jika yang empunya diri sudah mengaku begitu.
“Sekali lagi, terima kasih…..”, ucapku kepadanya kerana aku rasa tidak cukup dengan ucapan terima kasih di atas apa yang telah dilakukan kepadaku. 
Mengubah diriku bukanlah satu tugas mudah yang mampu dilakukan oleh sesiapa pun tetapi hanya dia yang mampu….ya hanya Tuan Megat yang mampu mengubah pendirian yang berdiri teguh di dalam hatiku selama ini.
“Tak payah berterima kasih pada saya….malahan, sepatutnya saya yang harus berterima kasih pada Wani kerana akhirnya Wani memberi peluang kepada saya untuk mengenali Wani dengan lebih dekat lagi…..sebab terus terang saya katakan, mulanya saya rasa saya sudah tidak ada peluang lagi setelah melihat Wani tetap dengan pendirian Wani seperti sebelum ini….tapi syukurlah, akhirnya Wani dapat menerima saya…..”
“Awak….saya ni seorang yang mudah sangat ke?”, soalku lagi.  Terlalu banyak perkara yang aku ingin tahu mengenainya.
“Tak faham…..mudah apa?”, soal Tuan Megat tidak faham.
“Maksud saya….adakah  mudah sangat awak nak dapat saya ni?”
Tuan Megat ketawa besar.  Aku terkejut dengan reaksinya.  Aku tersalah cakapkah?
“Wani….mudah awak cakap?  Kalau mudah nak tackle awak ni, tak payahlah saya minta tolong ibu saya dan ibu Wani…..kalau Wani nak tahu, Wanilah perempuan yang paling susah saya nak tackle tahu tak?”, balas Tuan Megat masih dalam ketawanya.
Aku terasa dengan jawapannya.  Akulah yang paling susah nak ditackle?  Maksudnya, ramai lagilah perempuan yang cuba ditacklenya?  Aku tambah was-was dengannya.
“Berapa ramai perempuan yang awak cuba tackle?  Saya ni perempuan yang ke berapa awak tackle?”, soalku tidak puas hati.
“Wani….don’t get me wrong….maksud saya, memang susah nak dapatkan Wani.  Wani ni kategori yang agak liat….”
“Perempuan lain tu kategori apa pulak?”, aku masih tidak berpuas hati dengan jawapannya.
“Aduh!  Susahnya nak cakap…tolonglah jangan salah sangka dengan saya…..saya tak pandai nak terangkan pada Wani….”, balasnya agak menggelabah.
“Saya tak kata apa-apa….awak yang kata saya yang paling susah awak nak dapatkan…..bermakna memang dah ramai perempuanlah yang awak cuba dapatkan?  Betul kan?”
“Baiklah….biar saya berterus terang dengan Wani.  Seboleh-bolehnya saya hendak bersikap jujur dengan Wani.  Memang saya mengaku, terlalu ramai perempuan yang cuba untuk mendekati saya.  Sejak zaman sekolah lagi sampailah zaman saya di universiti dan sehinggalah saya sudah berada di alam pekerjaan.  Bohonglah kalau saya kata takde yang berkenan di hati…memang ada….walaupun kebanyakan mereka yang approach pada saya dahulu…”
Entah kenapa hatiku cukup pedih mendengar pengakuannya sedangkan aku tahu aku tidak patut berperasaan begitu.  Masih terlalu awal untuk aku berperasaan begitu padanya tetapi mungkin pengalaman lama membuatkan aku rasa begitu.  Tiba-tiba sahaja aku jadi takut….takut diperlakukan seperti dahulu.
“Tapi malangnya, semuanya tidak bertahan lama…..”
“Kenapa?  Awak ditinggalkan atau meninggalkan mereka?”, soalku tidak sabar memotong kata-kata  Tuan Megat.
“Dua-dua ada…..ada yang saya tinggalkan dan ada yang meninggalkan saya…. Tapi semuanya bersebab…”, balas Tuan Megat cuba cover dirinya sendiri.
“Sebab apa?”
“Sebab ibu saya tak berkenan…..sudah menjadi prinsip saya…saya takkan sesekali membelakangkan ibu dan ayah saya.  Setiap seorang perempuan yang saya kenali, tak kiralah saya yang suka perempuan itu atau sebaliknya, biasanya saya akan kenalkan pada ibu saya terlebih dahulu….senang cerita, ibu saya bertindak sebagai panel juri….dia yang akan menilai mana-mana perempuan yang saya kenalkan…..malangnya tiada siapa yang dia berkenan.  Taste ibu saya sangat tinggi…..maksud saya, ibu saya benar-benar mahukan perempuan yang sebenar-benarnya perempuan untuk saya….sampai ke satu peringkat, saya dah malas nak mencari…..saya serahkan semuanya kepada ibu saya.  Kalau tidak takkan saya jadi bujang terlajak macam ni….dah hampir 32 tahun tapi masih bujang lagi…..”
Lega sedikit hatiku setelah mendengar apa punca dia jadi begitu.
“Ibu sangkakan saya dah merajuk kerana saya memang dah malas nak mencari walaupun ada yang berkenan di hati….saya tahu, restu orang tua sangat penting….sebab tu saya takkan mengahwini mana-mana perempuan kalau ibu saya tak suka….bila ibu saya tengok saya menyepikan diri dari bercakap soal perempuan, tiba-tiba ibu saya berikan gambar Wani pada saya…..masa tu saya memang dah malas nak fikir soal perempuan, sebab tu saya hanya mendiamkan diri tanpa beri apa-apa jawapan pada cadangan ibu saya untuk mengenalkan Wani pada saya…..tapi mungkin jodoh kita bila secara tak sengaja kita boleh berkenalan terlebih dahulu sebelum kita diperkenalkan…..”
“Itu kalau awak tinggalkan perempuan tu….tapi kenapa pulak awak ditinggalkan?  Takkanlah awak yang kacak bergaya ni boleh ditinggalkan?”, soalku masih tidak berpuas hati.
“Hmmm….tak puas hati lagi rupa-rupanya.  Sama juga….saya ditinggalkan perempuan juga disebabkan ibu saya.  Dia tidak sanggup melihat saya terlalu mengikut kata-kata ibu….katanya saya lebih sayangkan ibu saya dari dia…boleh Wani bayangkan tak apa jadi kalau saya kahwin juga dengan perempuan macam ni?  Belum apa-apa dah nak control hubungan saya dan ibu saya…..kalau dah kahwin tak tahulah apa jadi.  So, disebabkan tak sanggup nak berkongsi kasih dengan ibu saya, maka saya ditinggalkan…..that’s it…”, jelas Tuan Megat dengan selamba.
Nampaknya Tuan Megat memang amat menyayangi ibunya.  Syukurlah jika dia jenis lelaki yang begitu kerana di zaman ini, amat susah untuk bertemu dengan lelaki yang sanggup mengorbankan perasaan sendiri demi menghormati perasaan ibunya sendiri.  Aku kagum dengan lelaki ini.
“Jadi kenapa pilih saya?”, soalku sekadar ingin menduganya.
“Aikk??  Sudah terang lagi bersuluh?  Sebabnya Wani ni memang pilihan utama ibu saya….”
“Oooo….sebab saya ni pilihan ibu awak?  Bukan pilihan awak?”
“Wani….rasanya dah panjang lebar saya jelaskan fasal ni….tapi takpelah, kalau Wani masih tak berpuas hati, saya akan sebutkan lagi.  Kenapa saya pilih Wani?  Sebabnya Wani adalah pilihan hati saya….kemudian barulah Wani adalah pilihan ibu saya….so, dah takde sebab untuk saya lepaskan Wani kerana sebelum ini hanya sebelah pihak yang suka sedangkan pihak satu lagi tidak….kalau saya suka, tapi ibu pula tak suka….sebaliknya kalau ibu suka, saya pula agak berat nak terima…..tapi dengan Wani semuanya berehhh….anak suka, ibu pun suka…..”, balasnya sambil berseloroh.

Alhamdulillah….lapang dadaku mendengar pengakuannya.

No comments:

Post a Comment