BAB 16


 Kami terus menikmati hidangan yang telah dipesan walaupun aku sebenarnya langsung tidak berselera.  Seleraku terbang sejak malam tadi apabila memikirkan soal pertemuan kami hari ini.
Aku lihat Tuan Megat begitu berselera sekali makan.  Mungkin lapar benar agaknya.  Apataknya, jam ketika itu sudah menginjak ke jam 2.30 petang.  Mungkin dia belum makan tengahari lagi berbeza denganku yang masih kenyang setelah mengambil sarapan yang agak berat pagi tadi.  Entah angin apa yang bertiup, tiba-tiba sahaja Izyan begitu rajin memasak nasi lemak lengkap dengan sambal telurnya.  Aku yang sememangnya sudah berkeroncong perut, makan dengan begitu berselera sekali walaupun asalnya aku tidak berselera bila memikirkan pertemuanku dengan Tuan Megat nanti.  Kata Izyan dia memasak kerana meraikan aku sanggup keluar dating dengan Tuan Megat.  Banyaklah dia punya dating!
Selesai makan, desert berupa pudding caramel dan beberapa jenis buah-buahan yang siap dipotong pula dihidangkan.  Entah bila Tuan Megat order, aku pun tak tahu.
Tiba-tiba sahaja Tuan Megat duduk merenung aku semacam.  Seram pulak aku bila melihat cara dia memandangku.  Dah kena sampuk apa pulak agaknya Tuan Megat ni?  Apataknya, dia tiba-tiba sahaja berubah laku.  Agaknya terlebih makan nasi arab kot?
“Kenapa tengok saya macam tu?  Macam nak makan orang aje lagaknya….”, soal aku tidak senang kerana aku yang sedari tadi agak tenang, tiba-tiba jadi resah diperlakukan begitu.
“Tak boleh ke saya nak tengok girlfriend saya puas-puas?  Bukan senang nak keluar berdua macam ni….”, balasnya berserta dengan senyuman nakal.
“Dah…dah…jangan nak merepek yang bukan-bukan.  Awak kata ada perkara penting yang nak dibincangkan….sebab tu saya setuju keluar…..”, balasku sekadar untuk menutup hatiku yang tiba-tiba resah ini. 
Entah kenapa jantungku mula rancak berdegup.  Barulah aku tahu, rupa-rupanya aku sendiri tidak tahan jika direnung Tuan Megat begitu.  Terasa renungannya tajam menikam hingga menembusi jantungku.
“Tak sangka, Wani ni pemalu juga orangnya kan?  Nampak bukan main brutal lagi….tapi rupa-rupanya dalam hati ada taman….”, balasnya dengan senyuman meleret.
“Tuan Megat….awak belum kenal saya lagi.  So, jangan cakap yang bukan-bukan mengenai saya.  Bila saya bersetuju keluar, tidak bermakna saya setuju akan segala rancangan orang tua kita…..”, aku membalas tegas setelah melihat dia mula lupa akan tujuan kami keluar petang itu.
“Hmmm…..awak ni strict sangatlah Wani….nak romantik sikit pun tak boleh!”, kedengaran nada rajuk Tuan Megat.
Romantik?  Uwekk…terasa loya tekakku tiba-tiba.  Memang tak sesuai langsung nak sebut perkataan itu ketika ini.
“Kenapa tiba-tiba awak berubah fikiran?”, aku memulakan sesi perbincangan terlebih dahulu setelah melihat Tuan Megat mula menyimpang dari tujuan asal kami bertemu.
“Berubah fikiran?  Saya tak faham….”, balas Tuan Megat agak blur dengan soalanku.
“Maksud saya….kenapa tiba-tiba awak bersetuju untuk mengenali diri saya sedangkan peringkat awalnya awak memang tak bersetuju dengan cadangan ibu awak kan?”, soalku lagi. 
Entah berapa kali aku menyoal soalan yang sama kepadanya, aku pun tak tahu kerana aku sememangnya sangat ingin tahu mengenai perkara itu walaupun pernah dijelaskan Tuan Megat sebelum ini.
“Penting sangat ke soalan tu Wani?  Dah banyak kali saya dengar soalan tu dari awak…”, soalanku dibalas juga dengan soalan Tuan Megat.
“Penting….sangat penting.  Saya nak tahu, apa sebab awak tiba-tiba berubah fikiran?  Apa yang dah saya buat sampai awak tiba-tiba sahaja bersetuju untuk mengikut cadangan ibu awak tu….”
“Wani….kadang-kadang kita tak ada sebab untuk tiba-tiba menyukai seseorang itu.  Begitu juga dengan kes awak.  Jumpa awak kali pertama waktu menyaman awak dulu, terus hati saya berdetik untuk tahu siapa awak….sebabnya saya tak pernah lagi jumpa perempuan yang begitu berani bersoal jawab dengan polis bila disaman.  Biasanya mesti pesalah trafik perempuan tu menggelabah….pernah satu peringkat sampai menangis-nangis bila disaman.  Encik Selamat yang cukup digeruni tu pun boleh surrender dengan awak….itu yang buatkan saya tambah pelik.  Belum pernah lagi sepanjang saya berkhidmat saya tolong samankan bagi pihak anggota saya…awaklah orang pertama….”, Tuan Megat mula bercerita.
Aku tergelak seketika sebaik mendengar nama Encik Selamat.  Terbayang wajahnya yang garang dengan misai melintang ala-ala A.Galak dan berperut boroi itu.  Barulah aku tahu bahawa Encik Selamat itu cukup digeruni.  Nampaknya aku seoranglah yang tak gerun langsung dengannya.
“Hah!  Kenapa tersenyum sorang-sorang?  Baru tahu yang awak tu brutal?”, soalnya lagi setelah melihat aku tersenyum sendiri.
“Mana saya tahu dia seorang anggota polis trafik yang paling digeruni….”, soalku untuk menutup rasa bersalahku.
Takpelah….itu tak penting.  Lepas saman awak, saya baru terfikir macam pernah jumpa awak tapi saya langsung tak ingat di mana…..sehinggalah saya terjumpa semula gambar yang diberikan ibu saya kira-kira setahun dulu….bila saya check nama dan nombor telefon yang tertulis di belakang gambar awak, barulah saya tahu bahawa orang yang saya dah saman tu adalah orang yang yang sama ingin diperkenalkan kepada saya…..mulai hari tu saya kerap kali cuba menghubungi awak untuk mendapatkan kepastian….tapi malangnya saya tidak dilayan langsung….takdir memang tertulis untuk kita bertemu lagi bila secara tak sengaja saya telah diundang untuk menjadi penceramah di sekolah awak….tambah cantik lagi takdir tu bila awak pulak yang menjemputnya.  Selepas pertemuan kita di sekolah awak dulu, hati saya semakin kuat ingin mengenali Wani….selepas tu, saya terpaksa bertanya semula kepada ibu saya mengenai awak…..dan dari situlah bermula segalanya…..ok dah puas hati sekarang?  Dah tahu kenapa saya berubah fikiran?”, soalan Tuan Megat kepadaku mengakhiri jawapannya kepada soalan yang sudah beberapa kali aku tanyakan kepadanya.
Aku diam sebentar untuk cuba mencari kebenaran akan kata-katanya itu.  Memang ada logiknya juga ceritanya itu tetapi persoalannya sekarang bagaimana hala tuju hubungan kami dengan aku yang terlalu sukar untuk menerimanya tetapi dalam masa yang sama terpaksa memenuhi kehendak orang tuaku.
“Wani pulak macam mana?”, soal Tuan Megat setelah melihat aku hanya mendiamkan diriku.
“Macam mana apa?”, soalku pelik.
Come onlah Wani….jangan pura-pura tak tahu.  Kita bukan budak-budak lagi nak main tarik tali macam ni….saya nak dengar secara jujur apa perasaan Wani terhadap saya…”
Aduh!  Inilah yang paling tidak sanggup aku lakukan apabila diminta menyatakan perasaan hati kepada seorang lelaki yang cukup asing bagiku.
“Kenapa diam Wani?”
Aku mengeluh lagi.  Kemudian aku menarik nafas yang panjang untuk mencari ketenangan.  Aku sedar selama mana aku harus mengelak darinya.  Aku perlu berterus-terang dengan apa yang ku rasa.  Cuma aku bimbang, tindakanku itu bakal mengguris hati ayah dan ibuku pula.  Aku benar-benar tersepit dengan situasi ini.
“Tuan Megat….saya ingin berterus terang dengan awak….dan saya mengharapkan pengertian awak terhadap apa yang akan saya sampaikan ini…..”, aku serba salah untuk meluahkan apa yang kurasa.
Tuan Megat ku lihat agak serius sebaik mendengar kata-kataku itu.
“Sebenarnya…..terlalu sukar untuk saya menerima awak atau mana-mana lelaki pun dalam hidup saya lagi…..”
“Tapi kenapa?”, Tuan Megat memotong kata-kataku dengan suara yang agak keras.
“Saya sendiri tak tahu nak jelaskan macam mana….apa yang pasti memang saya tak dapat nak paksa hati saya untuk terima seseorang dalam hidup saya…..”
“Sebab awak masih tak dapat melupakan dia?”
Aku agak tersentak dengan soalan Tuan Megat itu.  Dia?  Siapa dia yang dimaksudkan Tuan Megat?
“Siapa?”, soalku ingin tahu siapa yang dimaksudkannya.
“Wani lebih tahu siapa dia….”, balas Tuan Megat cuba berteka-teki denganku.
“Saya tak tahu siapa yang awak maksudkan dan saya juga tak tahu apa yang awak tahu mengenai saya…..”, balasku agak berang.
“Wani….saya dah tahu segalanya mengenai awak….mengenai kekecewaan awak dahulu….tapi sampai bila awak nak hidup dengan mengenang kisah silam awak?  Kenapa harus menghukum diri sendiri sedangkan kesalahan tu bukan awak yang lakukan?  Berbaloikah awak berkorban hingga ke tahap ini?  Dia tahu ke apa yang awak buat untuk dia?”, bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Tuan Megat.
Telahan ku benar.  Memang Tuan Megat sudah tahu segalanya mengenai aku.  Pasti ibuku telah memberitahu segalanya kepadanya.  Aku memejamkan mataku seketika.  Kalau diikutkan hatiku, mahu sahaja aku menutup telingaku dari mendengar kata-katanya.  Kenapa terlalu sukar untuk orang-orang di sekelilingku memahami aku?
“Tuan Megat…..saya masih menghormati awak.  Saya dah tak mahu marah lagi….saya minta tolong sangat-sangat….tolong jangan campur urusan peribadi saya.  Apa yang saya rasa, apa yang saya nak buat, itu semua hak saya.  Saya paling tak suka orang yang tak tahu apa-apa mengenai saya tapi cuba mencampuri urusan peribadi saya….”, balasku dengan suara bergetar akibat menahan rasa marah yang menggila.
Aku tidak tahu kenapa aku begitu sensitif apabila soal peribadiku disebut-sebut lagi.  Sakitnya hati ini hanya tuhan yang tahu bila setiap kali aku mendengar mengenai hal itu.
“Wani…saya datang dalam hidup awak dengan niat yang baik….niat saya cuma satu, saya ingin mengenali awak dengan lebih dekat lagi….dan jika diizinkan tuhan saya nak jadikan awak isteri saya!  Awak nak tahu kenapa saya berubah fikiran kan?  Satu lagi sebab kenapa saya berubah fikiran selain dari apa yang dah saya sebutkan tadi ialah bila saya mendengar tentang kekecewaan awak.  Saya tak sangka awak telah dikecewakan begitu sekali….saya tak sampai hati mendengarnya.  Saya sendiri tak tahu kenapa saya rasa begitu…tapi apa yang pasti saya memang hendak sangat mengubat kekecewaan awak tu…..itulah niat saya dan sebab itu saya bersungguh-sungguh….”, begitu yakin Tuan Megat bersuara.
Aku merenung wajahnya.  Begitu yakin sekali dia menyampaikan isi hatinya tanpa mengambil kira aku yang mendengarnya.
“Saya tak perlukan simpati sesiapa pun….terutama awak!”, bentakku geram.
“Wani….saya tak pernah bersimpati pada awak dan jangan salah faham….perasaan suka pada awak timbul bukan disebabkan rasa simpati tetapi sebaliknya rasa kagum….”
“Tak payahlah nak perli saya!”, potongku setelah aku dapat merasakan dia seolah-olah ingin menyindirku.
“Itulah masalah awak Wani….terlalu negatif…terlalu berburuk sangka.  Terus terang saya katakan, bahawa saya jatuh hati pada awak disebabkan rasa kagum saya pada awak.  Saya kagum pada seorang wanita yang sangat setia pada cintanya walaupun telah dikecewakan dengan cara yang mengaibkan….pada saya dikecewakan di khalayak ramai adalah suatu yang amat mengaibkan….tapi awak tetap teguh!”, sambung Tuan Megat lagi.
“Siapa kata saya setia pada cintanya?”, soalku cuba mencabar kata-katanya yang begitu yakin.
“Saya kata setia sebab awak langsung tidak membuka ruang hati awak pada mana-mana lelaki….awak tak dapat menerima mana-mana lelaki kerana rasa cinta awak kepadanya masih begitu kuat kan?  Awak akan merasakan mana-mana lelaki memang tidak standing dengannya walaupun dalam masa yang sama awak sangat membencinya….betul tak apa yang saya cakap ni?”
Aku menggenggam tanganku untuk menahan rasa marah yang menggila walaupun apa yang dikatakan Tuan Megat memang benar belaka.  Bagaimana dia boleh tahu segalanya?  Adakah dia dapat menyelami hatiku?  Akhirnya aku tewas juga.  Air mataku yang cukup mahal selama ini akhirnya tumpah petang itu.  Lebih memalukan di hadapan lelaki yang sedaya upaya cuba ku tolak dan lebih menyakitkan hati dialah yang menyebabkan aku menangis.
Tuan Megat agak terperanjat apabila melihat aku menangis.  Mungkin dia tidak menyangka aku akan menangis kerana selama ini dia mengenali aku sebagai seorang yang cukup keras dan berhati batu tapi tiba-tiba petang ini dia dapat melihat seorang perempuan yang cukup lemah hingga menitiskan air mata.
“Menangislah sepuas-puasnya Wani jika itu dapat melegakan hati awak.  Saya tahu, selama ini awak banyak memendam rasa kerana awak tak mahu tunjukkan diri awak yang lemah pada orang-orang di sekeliling awak….terutama keluarga awak.  Awak nak mereka melihat awak sebagai seorang yang cukup kuat walaupun dalam masa yang sama awak sendiri kadang-kadang tidak mampu menghadapi tekanan disebabkan perasaan yang awak pendam tu.  Wani…sebagai orang islam, kita wajib redha di atas apa yang telah ditakdirkan kepada kita…dan setiap satu yang berlaku itu, pasti ada hikmahnya.  Allah itu maha adil…maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita.  Hari ini, ketika awak sedang bersedih begini, mungkin awak masih tidak nampak apa hikmahnya, tapi percayalah, insya Allah suatu hari nanti bila awak dah sedar, awak sudah redha di atas apa yang berlaku, pada masa itu, awak akan bersyukur sangat-sangat pada musibah yang menimpa awak dahulu….awak mesti sentiasa berbaik sangka pada Allah kerana sesungguhnya Dia tahu apa yang terbaik untuk awak, Wani….”, sambung Tuan Megat lagi apabila melihat aku yang tanpa segan silu menangis di hadapannya.
Aku menangis sepuas-puasnya tanpa mempedulikan orang-orang di sekelilingku yang memerhatikan aku dengan agak pelik.  Memang sudah lama aku tidak menangis begini semenjak aku dikecewakan di hari pertunanganku dahulu.  Aku sudah hilang rasa malu.  Aku mahu melepaskan segala apa yang terbuku di dalam hatiku selama ini.  Aku sungguh tidak menyangka bahawa aku akan menangis di hadapan Tuan Megat!

Jauh di sudut hatiku, aku mengakui bahawa Tuan Megat adalah lelaki pertama yang mampu menyedarkan aku dengan kata-katanya.  Selama ini, kebanyakan lelaki yang ingin mendekatiku, lebih kepada pendekatan memaksa.  Bila aku tidak mampu untuk menerima mereka, mereka mula mengungkit-ngungkit kisah silamku seolah-olah hendak memadankan mukaku dan kerana itu aku semakin menjauhkan diriku dari mana-mana lelaki kerana padaku mereka semuanya sama sahaja!

4 comments:

  1. wah,, best la cite nie,, xsabar nk bace bab setrusnye,,

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks NNor Laila....
      Kalau betul best, teruskan membaca bab2 yg akan yg saya uploadkan nanti ye.....tq

      Delete
  2. bila nak upload bab yg seterusya...x sabar nak baca...ngeee

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks aiman iqbal...
      Insya Allah, nnti saya uploadkan lg bab2 sterusnya ye....harap brsabar...

      Delete